Sunday, October 30, 2011

Penerangan Ulama ahlus sunnah wal jamaah tentang Tauhid 3(wahabi) ---> BAHAGIAN 3

Ringkasan pendapat Al-Allamah Abu Abdullah Alawi al-Yamani tentang Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah:

1) Ilmu tauhid tidak mempunyai pembahagian. Ia terbina di atas kalimah tauhid: Persaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan persaksian bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah.

2) Dalil orang yang berpegang dengan pembahagian tauhid: Surah Az-Zumar, ayat 3, Surah Al-Ankabut, ayat 61 (dan lain-lain). Sebagai jawapan:

a) Firman Allah swt:
"Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihkan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan kesyirikan)." [Surah Az-Zumar: 3]

Ayat dengan jelas menyebut bahawa orang-orang musyrik menyembah berhala, malah di akhir ayat, mereka tergolong dalam golongan kuffar (orang-orang yang kafir). Bagaimana pula dikatakan mereka ini bertauhid Rububiyyah, sedangkan Al-Quran jelas menidakkannya?

b) Firman Allah swt:
"Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?, sudah tentu mereka akan menjawab: Allah, maka bagaimanakah mereka tergamak melakukan pembohongan?"
[Surah Al-Ankabut: 61]

Orang kafir mengatakan Allah swt adalah pencipta hanya ketika berbincang sahaja, tetapi mereka sebenarnya tidak beriman dengan perkara itu. Di akhir ayat, jelas disebutkan mereka itu sebenarnya berbohong.

Bukti bahawa orang-orang kafir tidak bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah, firman Allah swt:
"(mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat?) Tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ditinggikan binaannya?"
[Surah Al-Ghasyiah: 17-18]

Jika orang kafir bertauhid Rububiyyah, kenapa perlu lagi ditanya soalan-soalan sedemikian yang seolah-olah mereka tidak bertauhid Rububiyyah yang mengakui bahawa Allah swt lah pencipta? Firman Allah swt:

"Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan hidup silih berganti, dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan masa."
[Surah Al-Jathiah: 24]

Orang kafir percaya bahawa faktor masalah yang menyebabkan berlakunya kehidupan dan kematian. Ini sudah jelas tidak bertauhid Rububiyyah.

Al-Quran menjelaskan bahawa Firaun tidak bertauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah, yang pada hakikatnya kedua-duanya adalah sama.
"Aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebagai tuhan (ilah) selain aku." [Surah Al-Qashash: 38]

Dalam ayat lain, Firaun berkata:
"Maka (fir'aun) berkata: Akulah Rabb (tuhan) kamu yang tinggi." [Surah An-Nazi'at: 24]

Dalam kedua ayat ini digunakan perkataan Ilah dan Rabb yang bermaksud tuhan. Ini kerana tidak perbezaan di antara keduanya.

No comments: