PENDAHULUAN
Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T yang dikurniakan dengan nikmat akal untuk berfikir , menaakul, meneliti, memerhati serta menganalisa setiap kebesaran Allah S.W.T serta berfungsi dalam kehidupan seharian bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh umat manusia.
Tanpa akal manusia tidak mungkin mampu untuk mentadbir alam semesta ini, sebagaimana haiwan yang hanya mampu menumpang tinggal di muka bumi ini tanpa perlu memikirkan bagaimana cara untuk mentadbirnya.
Al-Quran menggariskan beberapa bidang asas yang perlu dijadikan sasaran objek berfikir, iaitu berfikir tentang ciptaan Allah dengan merenung dan menaakul setiap ciptaan-Nya yang terdapat di seluruh alam semesta ini. Selain itu juga kita diminta untuk berfikir tentang tanda-tanda kekuasaan Allah melalui fenomena alam seperti pertukaran siang dan malam, hujan, ribut, banjir, gempa bumi dan sebagainya.
Namun begitu terdapat beberapa halangan yang bersifat negatif yang menghalang proses pemikiran ini terjadi dengan baik dan sempurna.
DEFINISI
PENGHALANG/HALANGAN : Aral, gangguan, rintangan ( Alat atau orang ), penghalang, penyekat dan perintang. (Kamus Dewan, Edisi 3, halaman : 430)
TAFFAKUR : berasal dari istilah Arab ‘Al-Fikr ( ألفكر )’, iaitu merujuk kepada aktiviti penggunaan akal atau minda manusia dalam konteks untuk mengenal, memahami dan menyelesaikan sesuatu perkara yang logical dan rasional.
BERFIKIR : menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, mempertimbangkan (Kamus Dewan, Edisi 3, halaman : 351).
Rumusan Definisi Tajuk: Suatu keadaan yang menyekat berlakunya aktiviti berfikir untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang berlaku.
HALANGAN-HALANGAN TAFFAKUR (BERFIKIR)
1. Jahil ( Mengabaikan dan tidak mahu menerima kebenaran)
111. Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang Yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata Dengan mereka, dan Kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Yang sebenar). (al-An’am: 111)
138. Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum Yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan Yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk Kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum Yang jahil. (Al-A’araf : 138)
- Iaitu sikap orang-orang yang Jahil, tidak mahu menerima kebenaran, meskipun telah nyata dihadapan mereka, mereka menolak dan mengabaikannnya dan tidak mahu cuba mengambil jalan untuk berfikir akan kebenaran tersebut. Meskipun segala kebenaran yang telah ditunjukkan dengan jelas oleh Allah S.W.T langsung tidak diendahkan mereka. Sedangkan telah nyata Kerasulan yang dianugerahkan oleh Allah terhadap Rasullullah S.A.W dan Nabi Musa, mereka masih lagi tidak mahu berfikir malahan meminta yang lain daripada kebenaran yang berada di depan mata mereka.
2. Al-I’arad (Berpaling daripada kebenaran)
110. Dan Kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di Dalam kesesatannya Dengan bingung. (Al-An’am : 110)
5. Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui Bahawa Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu?" maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran Yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang fasik - derhaka.(As-Saff : 5)
- Bagi mereka yang cuba berpaling daripada kebenaran yang telah dipaparkan dengan jelas oleh Allah, dan bertujuan untuk menidakkan kebenaran itu, mereka ini akan dipalingkan dan diselewengkan hati-hati mereka dari segala kebenaran, kesesatan akan terus menarik mereka untuk terus tenggelam dan hilang punca buat selamanya. Lalu mereka ini digolongkan oleh Allah sebagai hamba-hamba yang derhaka, tidak layak untuk mendapat petunjuk kerana sikap mereka yang berpaling daripada petunjuk Allah pada peringkat awal lagi.
3. Taqlid dan Ta’assub (Taklid Buta dan Pegangan Ekstrim Tradisi)
170. Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya". Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (Apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? (Al-Baqarah : 170)
- Proses berfikir secara waras dan matang dalam mencari dan mendapatkan kebenaran turut terhalang dengan sikap Taklid Buta dan Pegangan Ekstrim Tradisi ini. Ini banyak berlaku dalam banyak masyarakat termasuklah masyarakat Melayu yang Beragama Islam sendiri. Mereka terlalu berpegang teguh kepada adat tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka, tanpa usul periksa dan berfikir mereka mengambilnya dengan penuh yakin dan redha akan kebenaran kepercayaan tersebut tanpa menilai sama ada ianya sesuai atau bertentangan dengan Islam.
- Sekiranya ada pihak yang cuba untuk menegur perbuatan mereka ini, pastinya akan dianggap sebagai musuh yang cuba untuk merosakkan hidup mereka dan akan dilaknati oleh nenek moyang mereka. Berpegang teguh dengan ungkapan ‘Biar mati anak jangan mati adat’ menjadikan mereka terus tegar menurut amalan dan kepercayaan ini.
- Tanpa mereka sedar atau tidak, ianya meletakkan mereka sebagai seorang yang rosak akidahnya, iaitu boleh dikatakan sebagai Murtad, tanpa mereka sedari. Ini terjadi kerana mereka lebih percayakan kepada ajaran dan pegangan nenek moyang mereka, dan akan mendapat bala bencana sekiranya tidak menurutinya. Jelas di sini, mereka yakin bahawa ada kuasa selain Allah yang dapat membinasakan mereka.
4. Hawa Nafsu
119. … dan Sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan Dengan hawa nafsu mereka Dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang melampaui batas. (Al-An’am : 119)
43. Nampakkah (Wahai Muhammad) keburukan keadaan orang Yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan Yang dipuja lagi ditaati? maka Dapatkah Engkau menjadi Pengawas Yang menjaganya jangan sesat? (Al-Furqan : 43)
50. Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (Wahai Muhammad), maka ketahuilah, Sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada Yang lebih sesat daripada orang Yang menurut hawa nafsunya Dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum Yang zalim (yang berdegil Dalam keingkarannya). (Al-Qasas : 50)
- Hawa nafsu mendorong manusia untuk mendapatkan keseronokan, tanpa menggunakan akal untuk berfikir pastinya manusia akan melakukan apa sahaja asalkan hawa nafsu mereka dapat dipenuhi. Ia biasanya melibatkan kuasa, harta dan wanita.
- Bagi dapat memenuhkan kehendak bagi memiliki tiga perkara ini, manusia pasti akan sanggup mengadaikan keimanan dan maruah diri, asalkan mereka puas hati dengan apa yang mereka hajati tercapai dengan dorongan nafsu yang pastinya didalangi oleh kejahatan syaitan.
- Apabila bertuhankan nafsu, maka mereka pasti dijauhkan oleh Allah S.W.T dari mendapat petunjuk dan rahmatNya baik di dunia apalagi di akhirat. Ini kerana nafsu telah memperkudakan mereka untuk menjadi khadam mereka.
5. Takabbur (Bermegah Diri/Bongkak)
Dalam Al-Quran terdapat sekurang-kurangnya 60 ayat yang menyentuh dan mengandungi amaran daripada Allah S.W.T tentang keburukan sifat Takabbur ini. Kita lihat dua daripadanya :
146. Aku akan memalingkan (hati) orang-orang Yang sombong takbur di muka bumi Dengan tiada alasan Yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadaNya, dan jika mereka melihat jalan Yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan Yang dilalui. dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan Yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
(Al-A’raf :146)
35. "(Iaitu) orang-orang Yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah Dengan tidak ada sebarang Bukti Yang sampai kepada mereka (dari pihak Yang diakui benarnya). (Bantahan Yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang Yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!" (Al-Mu’min /Ghafir : 35)
- Sifat Takabbur, amat dibenci oleh Allah S.W.T ini kerana, hanyalah Allah sahaja yang layak memiliki sifat ini. Seandainya manusia sebagai makhluk ciptaannya bersikap Takabbur, sama seperti mereka ingin mencabar Allah dengan mengambil apa yang tidak layak bagi diri mereka.
- Allah sekali-kali tidak akan memberikan petunjuk dan hidayahNya bagi mereka yang cenderung mengambil apa yang sepatutnya bukan milik mereka.
6. Nifaq (Berpura-pura)
Merekalah Yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah Yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang Yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)". padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun Yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan Dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang Yang munafik itu tidak memahami (hakikat Yang sebenarnya). ( Al-Munafiqun : 7 )
- Sikap Nifaq atau berpura-pura ini, merupakan sikap tidak jujur bukan sekadar menjadi pendusta kepada agama Islam, malah menyediakan tempat yang terdahsyat azabnya dalam neraka Allah.
- Golongan ini dikenali sebagai Munafik, iaitu pendusta agama. Mereka berpura-pura beriman dengan Allah, Rasul dan segala ajaran Islam, tetapi didalam hati mereka hanyalah sekadar berpura-pura semata-mata tanpa ada sedikitpun kekesalan di hati malahan bangga dengan apa yang mereka perlakukan, kerana menganggap bahawa Allah dan rasulNya tidak tau akan perbuatan mereka ini.
7. Juhud (Mengingkari)
13. Maka ketika keterangan-keterangan mukjizat Kami sampai kepada Firaun dan kaumnya Dengan jelas nyata, berkatalah mereka: " ini adalah sihir Yang terang nyata!"
14. Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. oleh itu, lihatlah Bagaimana kesudahan orang-orang Yang melakukan kerosakan.
(An-Naml : 13-14)
- Mereka yang mengingkari tentang kekuasaan Allah Taala, kerana keangkuhan mereka yang merasakan mereka tidak perlu patuh ekpada Allah Taala, dan tak memerlukan Allah dalam kehidupan mereka, sedangkan mereka sebenar silap dan jauh tersesat dari kebenaran.
- Hidayah dan petunjuk Allah juga tidak akan sampai kepada mereka. Mereka akan sesat dan semakin sesat.
8. Ta’wil dan Hads (Prasangka dan Ramalan)
116. Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Al-An’am : 116)
- Perasaan syak wasangka atau prasangka ini, mudah menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan, ini kerana mereka sekadar bersangka buruk terhadap sesuatu perkara tanpa mengkaji terlebih dahulu kesahihannya.
- Apabila wujudnya prasangka atau ramalan, maka mereka akan terus menjadikan ianya sebagai satu bahan untuk berhujah dan akan cuba untuk membuktikan bahawa prasangka atau ramalan mereka itu sebagai satu kebenaran.
- Mereka mengadakan sesuatu yang sememangnya tiada atau menjadikan sesuatu yang salah itu seolah2 satu kebenaran yang tepat seolah-olah mereka merupakan pihak yang benar.
9. Takhdhib (Mendustakan Ayat-ayat Allah)
11.Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang Yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya. (Ali-‘Imran : 11)
21. Dan siapakah lagi Yang lebih aniaya dari orang Yang mengada-adakan perkara-perkara Yang dusta terhadap Allah, atau Yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang Yang zalim itu tidak akan berjaya. (Al-An’am : 21)
36. Dan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan Yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-A’araf : 36)
- Pendustaan terhadap ayat-ayat Allah dengan menafikan kesahihan dan kekuasaan serta amaran, suruhan dan larangan Allah seperti yang telah diturunkan oleh Allah di dalam Al-Quran yang sewajibnya dijadikan panduan oleh umat manusia seluruhnya.
- Apabila ayat-ayat Allah didustakan maka pelbagai azab akan ditimpakan Allah supaya mereka sedar akan kesilapan mereka, teapi tetap tidak mahu berfikir dan mengambil iktibar maka akan dibalas oleh Allah dengan kekal di dalam neraka buat selamanya.
- Setiap ayat yang diturunkan meminta manusia mengkaji dan memikirkan apakah rahsia yang terkandung disebalik ayat-ayat tersebut. Apabila sesuatu ayat itu ditolak kerana tidak bersesuaian dengan kehendak dan kemahuan hati mereka, ianya akan diabaikan agar mereka terlepas daripadanya. Sedangkan mereka tidak dapat lari daripada ketentuan Allah melalui ayat-ayat yang diturunkan.
- Seperti undang-undang yang ditetapkan oleh Allah buat umat manusia, ianya wajib dipatuhi kerana manusia itu dicipta oleh Allah, hanya Allah yang mengetahui apakah yang terbaik dan bertepatan dengan keperluan ciptaanNya. Sebagaimana sebuah peralatan elektrik dicipta, ianya turut dibekalkan dengan manual sebagai panduan penggunaannya, sekiranya mengikut aturan manual pastinya peralatan itu dapat berfungsi sebagaimana yang sepatutnya. Tetapi sekiranya manual yang dibekalkan diabaikan dan mahu alat itu berfungsi mengikut kemahuan mereka pastilah ianya akan mudah rosak dan tidak dapat berfungsi sebaik mungkin.
- Itulah jua perumpaan bagi mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah, mereka juga tidak mahu berfikir kelebihan arahan-arahan yang diturunkan oleh Allah kepada mereka sehingga mereka mulalah mencipta sesuatu yang mereka anggap sepadan dan sesuai dengan kehendak mereka untuk mereka ikuti, padahal ianya makin membawa mereka ke arah kepincangan.
10. Peranan Syaitan Dalam Mempengaruhi Persepsi Manusia
168. Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.
(Al-Baqarah : 168)
22. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke Dalam larangan) Dengan tipu dayanya. setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya Dengan daun-daun (dari) Syurga. serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, Bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu Yang nyata?" (Al-A’araf : 22)
5. Bapanya berkata:" Wahai anakku! janganlah Engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana Aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh Yang nyata bagi manusia. (Yusuf : 5)
119. "Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan Demi Sesungguhnya Aku akan memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong, dan Demi Sesungguhnya Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata. (An-Nisa’ : 119)
142. Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada Yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada Yang untuk disembelih. makanlah dari apa Yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. (al-An’am : 142)
21. Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa Yang menurut jejak langkah Syaitan, maka Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara Yang keji dan perbuatan Yang mungkar. dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha mengetahui (An-Nur : 21)
60. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh Yang nyata terhadap kamu! (Ya-sin :60)
- Syaitan merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah daripada unsur api, kedegilan makhluk ini diatas perintah Allah Taala supaya sujud kepada Nabi Adam kerana merasakan mereka lebih mulia daripada Adam yang dicipta daripada tanah, bermula saat itu syaitan memohon kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia untuk bersama-sama mereka menghuni neraka Allah kelak.
- Sebagai dendamnya terhadap manusia, mereka mula menghasut Nabi Adam dan Hawa, sehingga melanggar perintah Allah dengan memakan buah khuldi dan dihukumkan keluar dari syurga serta dihantar ke dunia.
- Kerja menyesat dan memesong hidup manusia terus dijalankan oleh syaitan dan warganya tanpa mengenal putus asa, agar mereka dapat membawa seramai mungkin umat manusia bersama-sama mereka ke dalam neraka kelak.
- Pelbagai cara digunakan bagi menyesatkan manusia mengikut peringkat keimanan mereka, seandainya manusia itu mempunyai iman yang teguh syaitan yang berpangkat besar akan memainkan peranannya untuk menyesatkan manusia tersebut.
- Manusia yang terpengaruh dengan bisikan syaitan ini akan terhalang daripada memikirkan tentang kebesaran Allah. Mereka semata-mata inginkan keseronokan hidup di dunia sahaja.
CARA-CARA MENGATASI
1. Menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang agama. Menguasai ilmu agama dengan mendalam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
2. Al-Insyirah ( الإنشرح ) , bersifat terbuka. Mengambil jalan untuk memikir dan mengkaji sesuatu perkara dan amalan adakah ianya bersesuain dengan fitrah Islam dan masyarakat. Iaitu tidak mengambil sesuatu amalan atau adat yang diturunkan secara tradisi daripada orang-orang terdahulu sebelum mengkajinya terlebih dahulu akan kedudukannya disisi Islam.
3. Hijrah dalam pemikiran atau anjakan paradigm yang selari dengan Islam. Agar segala hukum dan arahan serta tegah larangan Allah itu hendaklah dipatuhi, bukannya memilih bahawa ianya tidak selari dengan keadaan semasa dan masyarakat majmuk.
4. Mengamalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji) dalam kehidupan seharian seperti jujur, amanah, ikhlas, tawadduk dan sebagainya, agar sikap-sikap negatif seperti sombong, ujub, riak, takabbur dapat dijauhi dari meresap ke dalam jiwa dan seterusnya menguasai pemikiran sehingga menjadikan jiwa kita jumud dan tepu untuk memikirkan kebenaran.
5. Mempertingkatkan amal dan ibadah yang sempurna kerana Allah, untuk Allah dan bagi Allah dengan mengharapkan rahmat dan kemapunanNya, bukannya untuk mencari ganjaran seperti pahala dan syurga semata-mata. Ini dapat mengelakkan bertunasnya sifat ujub, riak, dan hilangnya keikhlasan dalam beribadah.
6. Mengakui kekuasaan Allah S.W.T bahawa tiada yang berkuasa melainkan Allah sahaja. Mengkaji dan memikirkan kehebatan ciptaannya yang tak terbanding dengan kemampuan manusia.
KESIMPULAN
Berfikir merupakan satu proses untuk kita memperolehi maklumat dan ilmu pengetahuan.akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah S.W.T wajib digunakan sebaik mungkin dalam menilai dan dan memahami sesuatu perkara. Tanpa memanfaatkan sepenuhnya ciptaan Allah ini, pastinya manusia itu akan berada dalam suatu kerugian yang teramat sangat.
Namun begitu proses berfikir ini akan terhalang disebabkan oleh diri manusia itu sendiri, pengaruh persekitaran dan juga peranan syaitan dalam usaha membawa seramai pengikut daripada kalangan manusia bersama mereka ke neraka kelak.
Jika dikaji melalui perbincangan sebelum ini terdapat 10 perkara yang menyumbang keoada halangan untuk manusia itu berfikir, boleh dikatakan 9 daripadanya berpunca daripada diri individu itu sendiri dan hanya 1 merupakan mainan syaitan.
Oleh itu peluang untuk manusia itu memperbaiki diri adalah amat cerah, iaitu berperang dengan diri sendiri dan mendidik nafsu untuk mentaati Allah. Cuma pada hakikat sebenarnya memerangi nafsu ini terlalu berat dan sukar berbanding memerangi musuh nyata di medan pertempuran. Oleh itu kekuatan Iman dan akal amat penting bagi membantu manusia memenangi pertempuran ini, untuk mencapai rahmat, keampunan dan keredhaan Allah s.W.t sebagainya di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment